Salam,
Rasanya sudah lama nurin tidak menulis diruangan ini. Kesibukan diri dan hati menyebabkan masa yang ada untuk menulis terpaksa ditunda. Cuma kadang-kadang perasaan rindu untuk menulis itu sentiasa mendesak dan terus memaksa untuk nurin mencoretkan sesuatu hari ini. Alhamdulillah dengan izin Allah, pada hari sabtu 19 Disember yang lalu, nurin dan beberapa orang sahibah telah dapat menghadirkan diri ke PICC di Putra Jaya sempena Majlis Muhadrabah Perdana 2009.
Allah izin, nurin dapat bertemu dan mendengar sendiri penyampaian ulamak termasyur dan tersohor di seluruh dunia siapa lagi kalau bukan Prof Dr Yusuf Al Qaradawi. Selama ini nurin begitu minat sekali membaca hasil-hasil karya beliau, dan melihat wajahnya yang tercetak dibuku atau pun di ruangan internet. Tetapi alhamdulillah, pada hari itu mata ini sendiri dapat melihatnya, memandang wajahnya dan terdetik dalam hati " Allah, sesungguhnya Kau telah beri kelebihan pada hambaMu ini untuk berdakwah ke jalan agamaMu, walaupun dalam keadaan dipapah masuk ke dalam dewan, memakai tongkat tetapi semanggat yang kuat jelas terpancar di wajahnya."
Setiap langkahnya nurin perhatikan pada hari tersebut, melihat wajahnya yang bening buat hati nurin teruja dan tidak sabar untuk mendengar penyampainya. Beliau telah menyampaikan ceramahnya bertajuk " Fiq Qud Jihad". Hari ini nurin akan kongsikan bersama teman-teman agar sedikit sebanyak ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama. Beliau telah menerangkan bahawa orang-orang islam ini terdiri dalam beberapa golongan. Golongan yang dimaksudkan:
1) Ekstrim
2) Bebas
3) Sederhana
Golongan Ekstrim ialah golongan yang berjihad ke jalan agama dengan menggunakan kekerasan iaitu melalui peperangan. Golongan ini merasakan semua orang kafir adalah musuh islam dan wajib diperangi walaupun mereka tidak memerangi orang-orang islam. Golongan bebas pula ialah golongan yang tidak kisah sama ada berjihad atau tidak, mereka menerima semuanya. Dan mereka tidak kisah sama sekali jika diperintah oleh pemerintahan yang bukan islam. Dan golongan yang terakhir ialah golongan yang sederhana. Ini golongan yang sebaik-baiknya yang harus ada pada diri setiap orang islam. Kerana golongan ini tidak memusuhi orang kafir yang tidak menzalimi mereka dan sentiasa berjihad ke jalan Allah tidak kira masa,tempat dan bukan melakukannya hanya sambil lewa sahaja.
Jihad ini terbahagi kepada 13 perkara, tetapi sempat di sampaikan oleh beliau hanya 4 sahaja.
1) Jihad menentang Hawa Nafsu
2) Jihad Menentang Syaitan
3) Jihad dalam konteks masyarakat
4) Jihad menentang orang Kafir dan Munafik
Bagaimana kita menentang hawa nafsu? Menurut Yusuf Qaradawi, beliau telah menyatakan untuk menentang hawa nafsu seseorang itu harus menuntut ilmu, mencari ilmu supaya kita boleh beramal untuk menewaskan hawa nafsu yang bersarang dalam diri setiap individu. Setelah itu kita haruslah mengajarkan pada orang lain dan sama-sama dapat memanfaatkan ilmu tersebut dan akhir sekali hendaklah kita bersabar kerana jihad menentang hawa nafsu ini adalah sangat berat dan sehingga Nabi S.W.A pernah mengatakan pada sahabat setelah balik dari peperangan bahawa mereka akan menghadapi perang yang lebih besar lagi selepas ini. Sahabat bertanya " Bukankan kita baru saja pulang dari berperang ya Rasulullah? Apa perang yang lebih besar lagi?" Nabi pun menjawab " Perang yang lebih besar lagi yang harus kita hadapi selepas ini ialah menentang hawa nafsu dalam diri."
Jihad menentang syaitan pula terdiri daripada menentang nafsu syahwat dan juga nafsu syubahat. Kita sebagai manusia haruslah menjaga diri kita dari melakukan perbuatan mungkar, menjauhkan diri dari zina serta maksiat. Sesungguhnya benar apa yang dikatakan Prof Dr Yusuf Qaradawi, manusia sekarang ini terlalu sibuk melayan nafsu syahwat buktinya lihatlah anak-anak hari ini mereka tidak segan silu melakukan maksiat walaupun di tepi jalan. Nazubillah, semoga kita dan anak-anak kita tidak tergolong dalam kelompok ini. Manakala nafsu syubahat ini harus kita tentang dengan mempelajari ilmu kerana melaluinya kita tahu dan dapat membezakan mana yang harus dilakukan dan mana pula yang harus ditinggalkan kerana melalui ilmu pengetahuan dapat mendidik manusia untuk mengenal lebih dekat dengan Tuhan mencipta alam ini.
Jihad yang yang ketiga ini adalah jihad dalam konteks masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jihad ini ialah kita sebagai dalam satu kelompok masyarakat hendaklah selalu mengajak manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Harus menegur dan mengajak penzalim untuk kembali ke pangkal jalan. Janganlah kita meninggalkan penzalim itu kerana tidak berdaya untuk menasihati atau pun tidak mahu mengambil tahu urusan yang mereka lakukan walaupun kita sedar perbuatannya melampaui batas. Kita sebagai umat islam wajib untuk mengajak ke arah kebaikan dan menyedarkannya akan kesilapan yang telah dilakukan. Apa yang di khuatiri jika kita meninggalkan penzalim itu dalam keadaan yang penuh dosa, ditakuti umat islam sekitarnya juga akan terkena fitnah tersebut. Maka oleh itu haruslah kita sentiasa menjalankan tugas kita sebagai satu fungsi dalam masyarakat tersebut hanyalah semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Jihad yang terakhir, ialah jihad menentang orang-orang kafir dan munafik. Sebagai orang islam kita diwajibkan mengajak seluruh umat manusia untuk memeluk agama islam. Jihad ini bukanlah dengan mata pedang tetapi dengan Al- Quran. Lihatlah betapa hebatnya nabi kita, baginda tidak pernah mengistiharkan perang kepada orang kafir. Selama 13 tahun di Mekah baginda tidak pernah sekali pun berperang sehingga ayat Allah turun yang menyuruh baginda berperang ketika di Madinah maka barulah peperangan telah berlaku. Itu pun kalau kita lihat, peperangan ini berlaku kerana umat islam telah di zalimi oleh orang-orang kafir dengan begitu dahsyat sekali. Jika orang kafir mahu memulakan peperangan barulah umat islam dibenarkan untuk mengangkat pedang dengan tujuan untuk mempertahankan diri, agama dan tanah air. Dan jika orang-orang kafir itu mahukan perdamaian maka baginda akan berdamai. Sesungguhnya islam tidak pernah mengajar kita mengasari atau menyakiti orang lain dengan menggunakan kekerasan walaupun orang itu adalah seorang yang kafir.
Dapatlah disimpulkan di sini, setiap umat islam haruslah berjihad walauapa pun kondisinya. Jihad yang paling besar ialah jihad menentang hawa nafsu di dalam diri setiap individu muslim. Sebab itulah Prof Dr Yusuf Qaradawi meletaknya permasalahan ini sebagai point yang teratas. Bagaimana hendak kita melaku jihad ini? cukupkah kita hanya menyebutnya? memandang sahaja? atau mendengarkannya bagai angin lalu? Dalam hadis yang mahsyur yang selalu kita dengar nabi berpesan cara untuk mencegah dari terjerumus dalam melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan bagaimana kita berjihad menentang hawa nafsu ialah:
1) menggunakan tangan
2) lisan/ lidah
3) hati ( inilah selemah-lemah iman)
Berjihad dengan hati bukanlah hanya dengan mendiamkan diri saja seperti yang dilakukan oleh kebanyakkan umat islam pada hari ini tetapi haruslah bertindak dengan mengikut kemampuan individu tersebut. Janganlah hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu ikut campur hal orang lain, tetapi buatlah sesuatu agar pihak yang selama ini melakukan kesilapan sedar akan ketelanjuran mereka. Nurin teringat seorang pensyarah lelaki, orangnya tidaklah bercakap banyak tetapi caranya sangat mudah dan boleh dipraktikkan dan tidak salah jika caranya adalah betul. Dia telah memberikan surat "cinta" kepada pensyarah-pensyarah wanita yang tidak memakai tudung dengan memberi nasihat-nasihat yang berguna dan menginggatkan azab Allah di dalam surat tersebut. Dan yang sugguh menarik dia tidak jemu-jemu menghantar surat tersebut berulang kali pada orang yang sama jika pensyarah wanita itu masih lagi tidak bertudung. Pada nurin tidak salah jika melakukan perkara tersebut, kerana kita wajib untuk menegur.
Ingatlah wahai teman-teman, pembaca sekalian. Hidup ini tidak kekal, mati jua menjemput pergi. Selagi hayat masih di badan lakukan amal, hindarkan kemaksiatan dan kemungkaran. Berjihadlah kamu sehingga badan berlipat dua, walaupun mata rabun memandang, walau kulit mulai kendur, walau gigi sudah bertabur dan uban muncul melambai-lambai. Maka ingatlah pesan Allah dalam surat Ar-Rum dalam ayat 29 & 30:
"Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri) dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab." (29)
"Maka hadapkan wajahmu dengan lurus kepada agama(islam);(sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (30)