BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 25, 2010

Bila hati mula berbicara


salam...

Sesungguhnya bulan ini masih belum punya karya nurin, yang terpampang di jendela ini. Memang sedikit sibuk kebelakangan ini tapi dalam kesibukan itu hati ini mula berbicara disebabkan kisah seorang teman yang telah pun melangkahkan kakinya semalam untuk menunaikan umrah. Nurin serta kawan-kawan yang lain turut menghantarnya ke KLIA. Hati mula berbicara " Bila giliran aku? sempat ke aku melihat rumah Allah di tanah suci Mekah? bila nak cukup duit ni? kuatkah aku nanti bila sampai saat itu? bilalah Allah akan undang aku? layak ke aku menjadi tetamu Allah ni? Allah....begitulah bermain di hati kecil nurin. Sayu terasa hati, bila menghantar kak kir, kak tasnim dan salmi di check in point. Terasa hatiku sudah sampai nun jauh ke Tanah suci itu, cuma jasadku masih tegak berdiri di airport yang sejuk!


Airmataku cuba untuk menitis..sebak hatiku menjadi-jadi bila kami terpaksa pulang duluan kerana fligth malam itu ditunda ke pukul tiga pagi! Tapi kupendamkan saja rasa hati kecilku ini, sabar wahai hati!sabar..sesungguhnya Allah pasti menjemputmu ke rumahNya. Tanpa kau sangka-sangka dan tanpa kau duga. Semuanya dengan izin Allah dan rahmatNya. Dengan segera ku usir jauh-jauh rasa hati ini, insyallah giliran aku untuk menunaikan umrah dan haji pasti akan tercapai. Allah tahu niat yang baik..dan pasti Dia makbulkan.


Ya Allah...aku mohon padaMu, walaupun hanya sekali dalam hidupku aku dapat memijakkan kaki ke rumahMu, izinkan aku ya Allah mencium tanah suciMu..beribadah di tempat yang di muliakan olehMu, melawat Baginda Rasullah SAW kekasih hati setiap hambaMu...tawaf bersama Rasullah SAW, bersama para sahabat, para tabien, para syuhada walaupun aku adalah insan di barisan terakhir!! jika aku layak berada di tempat itu...sesungguhnya kaulah Maha mengetahui, amin.

Tuesday, February 16, 2010

Dalam air ada " Jaws"



Salam...

Alhamdulilah, hari ni nurin berkelapangan untuk mencoret sikit kisah di sini. Kesibukan beberapa minggu sebelum ini berakhir juga. Tapi minggu depan akan padat lagi dengan kursus seminggu..Oh! rindunya rumah dan bantal bucukku :) Nurin lebih rela duduk di rumah dari keluar berjalan-jalan atau apa sahaja selagi tidak terdesak untuk berbuat begitu.

Sepanjang cuti raya cina ini terasa seronok duduk di rumah, tidak keluar kemana-mana kecuali pagi tadi keluar bersama teman-teman ke Taman Botani, Putrajaya. Wah! sudah lama tidak beriadah terasa seronok sangat. Yang paling menyeronokan nurin, kami menaiki basikal sambil menikmati keindahan taman tersebut. Maklumlah dah lama nurin tak naik basikal, terasa seperti kanak-kanak dan muda remaja kembali..hehehe

Pelbagai aksilah kami gayakan, bila dah sakit punggung duduk di kerusi basikal tu, mulalah gaya menonggeng dan berdiri atas basikal beraksi. Terasa lucu juga bila mengenangkan diri yang dah tua-tua ni buat begitu, tapi bila time orang tak lalu kat situlah...hehehe. Terasa badan segar bila peluh mencurah-curah membasahi t-shirt panjang nurin. Alhamdulilah..terima kasih Allah kerana Kau kurniakan nikmat hari yang membahagiakan buatku.

Hari sebelumnya, teman nurin ajak bermandi manda di sungai Congkak, Hulu Langat. Tapi nurin malas keluar dan bab mandi-mandi ni bukanlah kegemaranku. Nurin sebenarnya suka pergi tempat-tempat macam tu, sungai, laut dan hutan memang menjadi pilihan nurin sejak kecil dari window shopping kat mall. Melihat keindahan alam ini, terasa dunia ini terlalu menakjubkan. Begitu indahnya alam cipta Allah ini sehingga tiada satu makhluk pun boleh "copy" and "paste"!

" Kak Nurin, jomlah mandi sungai..best kak nurin, air sejuk sangattttttt" Sya mulalah buka topic memujuk, buat muka seposennya tu.

" Malaslah kak nurin, cuti-cuti ni mesti orang ramai kat sana" balasku pendek.

" Alahhhh..kak nurin ni,jomlah kuar, asyik duk memerap jer kat umah. Jomlah kita gi mandi -manda, amik gambar, gi makan-makan kat tepi sungai. Syok tau kak nurin..rugi tak pegi" ayat memujuk rayulah tu, Sya ni bab memujuk bagi kat dia. Tapi nurin memang jarang makan pujuk orang.

" Takpe, awak pergilah mandi dengan kak Tasnim dan Husna yer, kak nurin bukan apa gelilah nak mandi air sungai ni, laut pun kat nurin tak mandi. Setakat main-main air kat kaki boleh ler, kalau kolam mandi lagilah, nak celup air pun kak nurin tak lalu" jawabku sambil senyum meleret"

" Awatnya geli, kan air tu mengalir..sejuk tau,bersih jer air sungai tu" kesian tul tengok muka orang bersungguh-sungguh mengajak ni. Dah macam muka sadin cap tomato dah tengok..hehehe.

" Bukan apa, dulu masa kak nurin kecik-kecik selalu gi mandi sungai, best-best tengah mandi, menyelam bagai...sekali! elok jer emas terapung-terapung kat sebelah kita. Cantik tul kuningnya..hahaha..ketawaku.

" Yeka ada orang melepas ka? tak senonohlah depa ni.." Sya tersenyum sumbing.

" Tulah kak nurin tak lalu nak mandi-manda ni, kat laut pulak dulu masa umur 5 tahun pernah lemas kat Tanjung Bidara, ikut abang sedara yang dah besar gi menyelam, lepas tu lemas. Nasib takde apa-apa. Sampai sekarang fobia dengan air.."

"Oh! gitu ka, patutlah takut air..hehehe. Takpelah kalau gitu kami pergilah" jawab sya setelah puas menyoal siasat kenapa nurin tak mahu ikut mandi dengan mereka. Macam "inspektor sahab" menanya banduan pulak rasanya..hehehe.

Sebenarnya ada cerita lagi nurin tak cakap kat depa tu, masa nurin lemas tu nurin terasa seperti ada sesuatu yang menarik kaki nurin...nak tau apa nurin fikirkan????! JAWS..hehehe, nurin rasa macam jaws jer tarik kaki nurin masa kecil tu, begitulah nurin fikir. Bila dah besar-besar ni bila tengok laut tu macam takut jer tetiba jaws muncul tengah-tengah laut.. mana nurin nak lari? Adui! tulah kisah lucunya....kesian sungguh nurin kan..hehehe

Tuesday, February 2, 2010

2 febuary datang lagi....

Salam...

Alhamdullilah, 2 febuary hadir lagi dalam hidupku. Syukur kepada Allah yang Maha Esa, kerana Kau mengurniakan segala nikmat yang tidak terhingga dan kini nurin masih lagi berdiri di sini dengan kebesaran Ilahi yang Maha Agung lagi Maha besar kuasaMu.

Pada tarikh ini, insan bernama nurin dilahirkan ke dunia yang fana ini menurut kehendak dan janji Allah yang sudah tertulis. Tangisan dan kegembiraan ayah dan ibu dan juga diriku ketika itu sudah pasti mengamatkan hari-hari kami di Hospital Besar Kuala Lumpur. Kini walaupun masa itu sudah lama berlalu, ayah dan ibuku sudah pun mendahuluiku menemui Kekasih mereka, tapi nurin bersyukur kerana tanpa mereka pasti tangisanku tidak kedengaran di hospital...tanpa mereka pasti hari ini nurin tidak bergelar nurin! dan tanpa mereka siapala aku?

Setinggi syukur ke hadrat ilahi, kerana kurniaan yang sangat besar ini kerana nyawa yang diberi sangat berharga sekali. Sesungguhnya Allah menjadikan manusia dan jin untuk taat dan patuh padaNya. Semoga nurin dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan pada Allah yang aku bergantung siang dan malamku, jaga dan lenaku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untukMu ya Allah..amin.

Friday, January 22, 2010

Research Diri


salam...

Alhamdulillah, dengan izin Allah dapat nurin mengetuk keypad laptop malam ini. Sekarang ni sudah pukul 12.30 malam..masih belum tidur. Tengah pening melihat kertas yang bersepah-sepah dalam bilik. Mana tidaknya, sekarang ni bz dengan questionaire research yang pelik. Bukan pelik apa, soalannya biasa saja tapi tak tahu mana focusnya variable pulak sampai nak dekat 500! Pening tengok..biar betul ni? Bayangkanlah variable yang di key in dalam Spss mengambil masa berjam-jam lamanya. Allah, bukan tak biasa dengan key in data ni, malah run data tu pun perkara yang selalu juga nurin buat. Dan baru jer selesai untuk 200 data, alhamdulliah sudah pun di proses dan mendapat output yang baik. Selesai satu projek..tapi kali ni projek yang satu ni agak berat. Kalau dah variable dekat 500 bukankah agak terperanjat dibuatnya. Apa yang dikaji sampai begitu komplet sekali? Tengok soalan biasa-biasa saja, tapi terkadang tak munasabah bila menanya terlalu banyak benda. Susah juga kalau terlalu pandai sangat ni, kita akan menuntut kesempurnaan dalam semua sudut walhal kita tahu tidak ada suatu pun yang sempurna di dunia ini hanya Allah pencipta langit dan bumi Dia lah yang Maha sempurna tiada terbanding dengan yang lain.

Seseorang researcher ekonomi, psikologi dan sosial mereka banyak mengkaji tentang tingkah laku manusia sebenarnya. Pemerhatian demi pemerhatian dibuat untuk menkaji gelagat manusia atau seseorang individu dan keluarga dalam menyumbangkan kesan terhadap ekonomi, psikologi dan fungsi sosial kepada dirinya sendiri, keluarga, masyarakat, sesebuah negara dan dunia. Cuma masyarakat tidak perasan atau ambil kisah akan sumbangan mereka. Kerana bagi mereka apa yang mereka lakukan ialah rutin harian dan keperluan bagi setiap individu mahu pun keluarga. Setiap tingkah laku dan keputusan yang dibuat sebenarnya memberi impak yang besar dalam kehidupan kita.

Research yang dibuat adalah sangat perlu kerana melaluinya kita dapat mengukur sesuatu perkara sejauh mana ianya benar dan memberi kesan yang positif atau sebaliknya terhadap sesuatu yang dikaji. Sebagai manusia sebenarnya secara tidak sedar bahawasanya kita ini researcher pada diri kita sendiri. Tak percaya? Cuba kita lihat, pernahkah kita soal hati kita apa yang kita sudah buat selama berpuluh tahun hidup di dunia ini? Pernah tak kita terfikir, setiap perbuatan kita akan memberi impak yang besar dalam kehidupan kita? Segala-segalanya melibatkan banyak perkara cuma sebab perkara itu biasa jadi kita buat tak kisah dan tak tahu saja.

Bagi orang yang perihatin mereka akan dapat menangkap segala-segalanya dengan cepat, dan akan sedar segala tingkah laku dan perbuatannya. Di saat ini barulah kita tahu selama ini kita terlalu banyak menyakitkan hati orang di sekeliling kita, kita terlalu mementingkan diri, kata-kata kita bak sembilu membakar jiwa setiap manusia, kita pulak sibuk berjalan mendabik dada dan menuduh semua orang tidak betul, tidak adil, tidak waras dan sebagainya. Tapi pernahkah kita melihat diri kita sendiri? Benarkah kita ini? baguskah kita ini? Kita memerhatikan orang dan mencatat segala kesalahannya, mencatat segala kekurangannya, sedangkan ada di kiri kanan kita sendiri yang sedang mencatat tindak tanduk kita, kita tahu tapi pura-pura tak tahu. Menuduh orang lain sama ada secara nyata atau dalam hati? adilkah kita? Kita berjanji dengan orang tetapi ternyata kita selalu saja tidak menepati. Janji kita hanya manis meniti di bibir tapi sebenarnya kita selalu berdusta.

Ada segelintir manusia pulak, asyik memikirkan bahawa keturunan mereka dari keturunan yang baik-baik. Maka mereka berprasangka setiap tindak tanduk mereka pastilah yang bagus-bagus belaka. Merasa diri terlalu hebat sehingga memandang orang lain sekecil semut. Semut-semut ini tidak boleh berganding dengannya, kerana keturunan yang ntah dari mana datangnya? Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan mereka itu melukakan perasaan orang lain. Keturunan yang bagus saja ke yang masuk syurga? Tapi berapa banyak pulak orang yang baik, anak-anak imam, saudara saudari yang ustaz dan ustazah, manusia-manusia yang dikategorikan sebagai elit yang dipandang manusia sebagai "baik" menjadi penagih dadah? berzina di bilik-bilik hotel, di cekup kerana berkhalawat ditaman-taman? arak macam kawan tidur? menjadi pencuri dan membunuh! ya Allah...

Pernah juga nurin dengar sendiri, ramai student-student yang belajar agama mereka berkelakuan sangat baik . Kalau sekali pandang mereka ini sangat soleh. Tapi kita terperdaya dengan mata zahir kita, sebenarnya ada di kalangan mereka ini, video pornografi menjadi habuan mereka setiap hari. Bila ditanya kenapa melakukan perkara yang tidak baik itu, mereka menjawab dengan selamba..."kami tengok saja, tapi kami tak buat. Kami sekadar tengok untuk melepaskan rasa nafsu yang memuncak, tapi kami tidak melakukan zina." Bukan itu salah satu cara kita mengetuk pintu zina? Bukankah melihat benda-benda begitu kita telah melakukan zina mata? hati akan menjadi gelap dan keras, maka tak hairanlah kalau ada yang belajar jauh-jauh tapi balik hanya dapat gelaran tapi bila ditanya satu apa pun tak tahu? ayat berapa?hadis mana? hukum apa? jawabnya..." takpe nanti saya buka kitab"..itulah balik-balik jawapan yang diberi saban waktu. Bukan tak boleh buka kitab, bagus kalau dapat buka sebab kita ni manusia bukan boleh ingat semua tapi jawapannya tidak pernah kunjung tiba, terkadang sangat samar-samar saja paling best sekali bila jawapannya " saya tak pro lagi, tanya ustaz yang lebih arif". Bila pulak masa nak arif, berapa tahun lagi? Itulah jawapan yang sering kali kita dengar walaupun orang itu pergi belajar ke Mesir, ke Jordan , Syria bertahun-tahun...wallahu'lam. Kalau hanya belajar, nurin rasa semua orang boleh. Setakat pergi kelas duduk dengar lecturec membebel, salin sikit-sikit note cukuplah tu. Tapi ada juga di kalangan mereka ini kata, pergi kelas tak wajib kat sini. Ikut suka hati nak pergilah.Pulak??? "Kat sini sistem belajar lain tak sama macam kat Malaysia"! salahkan sistem kalau tak dapat jawab ke? Alasan demi alasan diberi..

Bagaimana nak mengamalkan ilmu yang kita dapat dalam kehidupan seharian kita? Maka research diri ini memainkan peranan yang sangat penting. Melaluinya kita tahu mana kelebihan dan kekurangan kita, melalui pemerhatian, apa yang kita catatkan, apa yang kita dengar, apa yang kita lihat itu semua merupakan variable yang sangat penting. Melalui semua penyelidikan ini maka akan terhasil sesuatu jawapan yang selama ini tidak jelas, atau samar-samar atau selama ini kita tidak tahu langsung pengaruh sesuatu perkara terhadap perkara yang lain.

Segala persoalan akan terjawab bila kita melihat, mendengar dan memerhatikan dengan tepat. Bukan sambil lewa, bukan kadang-kadang, bukan jua kerana paksaan. Bila sudah ketemu akan jawapan maka hal yang seterusnya ialah melakukan tindakan yang sepatutnya dan pastikan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Walaupun begitu, nurin faham kita manusia sudah terbiasa dengan perkara-perkara yang telah mendarah daging dalam hati, dalam jiwa. Kita akan salahkan segalanya-segalanya, orang disekeliling kita, ibubapa kita, masa silam kita, pengalaman kita sehingga ada yang menyalahkan takdir yang ditentukan untuknya. Tapi ada pulak setengah dari kita rehda saja apa yang dah ditentukan, tanpa usaha, tanpa ikhtiar. Jarang sekali kita menyalahkan diri, jarang sekali kita nak perhatikan diri, jauh sekali menuduh diri sendiri kerana melakukan kesalahan yang besar dan tidak sepatutnya. Selalunya kita akan kata " apa nak buat dah takdir macam tu redha jer lah" atau " dah takdir aku jadi macam ni nak buat macam mana? memang bagus kita berlapang dada, sesungguhnya segala apa pun yang kita lakukan segala-segalanya telah ditentukan Allah, segala gerak tingkah laku, segala perbuatan dan akibat. Tapi bagi orang-orang yang berfikir, tidakkah mereka perlu mencari jawapan yang lebih tepat lagi, dengan alasan-alasan yang lebih kuat. Bukan menyerah pada takdir saja!

Subhanallah, tidak terlintas pun di hati kecil nurin untuk menuduh sesiapa pun dalam coretan ini. Cuma melalui pemerhatianku, apa yang nurin dengar sendiri, lihat sendiri, dan percakapan sendiri. Walau apa pun setiap patah perkataan ini hanyalah untuk diriku yang lemah lagi kerdil ini. Tanpa kita sedar kita membuat research lebih banyak ke atas orang lain, dari diri kita sendiri. Sesungguhnya orang di sebelahmu, adalah cermin untukmu. Lihat dan perhatikan baik-baik sekiranya terdapat kecacatan yang boleh diperbaiki mengapa tidak kita bertindak? Bukan hanya tahu bercakap, lakukanlah walaupun tak sesempurna mana kerana diri kita ini memang pun tak sempurna..

Tuesday, January 12, 2010

Tak Sihat...

salam...

Tahun baru sudah pun berlalu selama 12 hari, dan selama itu nurin belum pun mencoretkan apa-apa di ruangan ini. Sudah beberapa hari tak sihat badan, biasala bila Allah nak bagi sakit, kita terimalah. Tetapi ada juga kadang-kadang kawan yang tidak faham dengan keadaan kita. Senjaga buat-buat sakit katanya. Takpalah..orang tak tahu situasi kita, yang mereka tahu dan mereka cakap jer yang betul. Allah menguji kita dengan pelbagai bentuk dan keadaan. Begitu juga dengan nurin, di uji dengan pelbagai dugaan. Orang hanya mampu melihat dan bercakap belakang tapi orang tidak tahu apa yang kita alami. Cuma di saat ini nurin perlukan kekuatan dan redha dengan apa yang berlaku. Selalu ingatkan diri supaya banyak bersabar dan terus bersabar selalu.

Monday, December 21, 2009

Al-Allamah Prof Dr Yusuf Al Qaradawi


Salam,

Rasanya sudah lama nurin tidak menulis diruangan ini. Kesibukan diri dan hati menyebabkan masa yang ada untuk menulis terpaksa ditunda. Cuma kadang-kadang perasaan rindu untuk menulis itu sentiasa mendesak dan terus memaksa untuk nurin mencoretkan sesuatu hari ini. Alhamdulillah dengan izin Allah, pada hari sabtu 19 Disember yang lalu, nurin dan beberapa orang sahibah telah dapat menghadirkan diri ke PICC di Putra Jaya sempena Majlis Muhadrabah Perdana 2009.

Allah izin, nurin dapat bertemu dan mendengar sendiri penyampaian ulamak termasyur dan tersohor di seluruh dunia siapa lagi kalau bukan Prof Dr Yusuf Al Qaradawi. Selama ini nurin begitu minat sekali membaca hasil-hasil karya beliau, dan melihat wajahnya yang tercetak dibuku atau pun di ruangan internet. Tetapi alhamdulillah, pada hari itu mata ini sendiri dapat melihatnya, memandang wajahnya dan terdetik dalam hati " Allah, sesungguhnya Kau telah beri kelebihan pada hambaMu ini untuk berdakwah ke jalan agamaMu, walaupun dalam keadaan dipapah masuk ke dalam dewan, memakai tongkat tetapi semanggat yang kuat jelas terpancar di wajahnya."

Setiap langkahnya nurin perhatikan pada hari tersebut, melihat wajahnya yang bening buat hati nurin teruja dan tidak sabar untuk mendengar penyampainya. Beliau telah menyampaikan ceramahnya bertajuk " Fiq Qud Jihad". Hari ini nurin akan kongsikan bersama teman-teman agar sedikit sebanyak ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama. Beliau telah menerangkan bahawa orang-orang islam ini terdiri dalam beberapa golongan. Golongan yang dimaksudkan:

1) Ekstrim

2) Bebas

3) Sederhana

Golongan Ekstrim ialah golongan yang berjihad ke jalan agama dengan menggunakan kekerasan iaitu melalui peperangan. Golongan ini merasakan semua orang kafir adalah musuh islam dan wajib diperangi walaupun mereka tidak memerangi orang-orang islam. Golongan bebas pula ialah golongan yang tidak kisah sama ada berjihad atau tidak, mereka menerima semuanya. Dan mereka tidak kisah sama sekali jika diperintah oleh pemerintahan yang bukan islam. Dan golongan yang terakhir ialah golongan yang sederhana. Ini golongan yang sebaik-baiknya yang harus ada pada diri setiap orang islam. Kerana golongan ini tidak memusuhi orang kafir yang tidak menzalimi mereka dan sentiasa berjihad ke jalan Allah tidak kira masa,tempat dan bukan melakukannya hanya sambil lewa sahaja.
Jihad ini terbahagi kepada 13 perkara, tetapi sempat di sampaikan oleh beliau hanya 4 sahaja.

1) Jihad menentang Hawa Nafsu

2) Jihad Menentang Syaitan

3) Jihad dalam konteks masyarakat

4) Jihad menentang orang Kafir dan Munafik


Bagaimana kita menentang hawa nafsu? Menurut Yusuf Qaradawi, beliau telah menyatakan untuk menentang hawa nafsu seseorang itu harus menuntut ilmu, mencari ilmu supaya kita boleh beramal untuk menewaskan hawa nafsu yang bersarang dalam diri setiap individu. Setelah itu kita haruslah mengajarkan pada orang lain dan sama-sama dapat memanfaatkan ilmu tersebut dan akhir sekali hendaklah kita bersabar kerana jihad menentang hawa nafsu ini adalah sangat berat dan sehingga Nabi S.W.A pernah mengatakan pada sahabat setelah balik dari peperangan bahawa mereka akan menghadapi perang yang lebih besar lagi selepas ini. Sahabat bertanya " Bukankan kita baru saja pulang dari berperang ya Rasulullah? Apa perang yang lebih besar lagi?" Nabi pun menjawab " Perang yang lebih besar lagi yang harus kita hadapi selepas ini ialah menentang hawa nafsu dalam diri."


Jihad menentang syaitan pula terdiri daripada menentang nafsu syahwat dan juga nafsu syubahat. Kita sebagai manusia haruslah menjaga diri kita dari melakukan perbuatan mungkar, menjauhkan diri dari zina serta maksiat. Sesungguhnya benar apa yang dikatakan Prof Dr Yusuf Qaradawi, manusia sekarang ini terlalu sibuk melayan nafsu syahwat buktinya lihatlah anak-anak hari ini mereka tidak segan silu melakukan maksiat walaupun di tepi jalan. Nazubillah, semoga kita dan anak-anak kita tidak tergolong dalam kelompok ini. Manakala nafsu syubahat ini harus kita tentang dengan mempelajari ilmu kerana melaluinya kita tahu dan dapat membezakan mana yang harus dilakukan dan mana pula yang harus ditinggalkan kerana melalui ilmu pengetahuan dapat mendidik manusia untuk mengenal lebih dekat dengan Tuhan mencipta alam ini.


Jihad yang yang ketiga ini adalah jihad dalam konteks masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jihad ini ialah kita sebagai dalam satu kelompok masyarakat hendaklah selalu mengajak manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Harus menegur dan mengajak penzalim untuk kembali ke pangkal jalan. Janganlah kita meninggalkan penzalim itu kerana tidak berdaya untuk menasihati atau pun tidak mahu mengambil tahu urusan yang mereka lakukan walaupun kita sedar perbuatannya melampaui batas. Kita sebagai umat islam wajib untuk mengajak ke arah kebaikan dan menyedarkannya akan kesilapan yang telah dilakukan. Apa yang di khuatiri jika kita meninggalkan penzalim itu dalam keadaan yang penuh dosa, ditakuti umat islam sekitarnya juga akan terkena fitnah tersebut. Maka oleh itu haruslah kita sentiasa menjalankan tugas kita sebagai satu fungsi dalam masyarakat tersebut hanyalah semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah.


Jihad yang terakhir, ialah jihad menentang orang-orang kafir dan munafik. Sebagai orang islam kita diwajibkan mengajak seluruh umat manusia untuk memeluk agama islam. Jihad ini bukanlah dengan mata pedang tetapi dengan Al- Quran. Lihatlah betapa hebatnya nabi kita, baginda tidak pernah mengistiharkan perang kepada orang kafir. Selama 13 tahun di Mekah baginda tidak pernah sekali pun berperang sehingga ayat Allah turun yang menyuruh baginda berperang ketika di Madinah maka barulah peperangan telah berlaku. Itu pun kalau kita lihat, peperangan ini berlaku kerana umat islam telah di zalimi oleh orang-orang kafir dengan begitu dahsyat sekali. Jika orang kafir mahu memulakan peperangan barulah umat islam dibenarkan untuk mengangkat pedang dengan tujuan untuk mempertahankan diri, agama dan tanah air. Dan jika orang-orang kafir itu mahukan perdamaian maka baginda akan berdamai. Sesungguhnya islam tidak pernah mengajar kita mengasari atau menyakiti orang lain dengan menggunakan kekerasan walaupun orang itu adalah seorang yang kafir.

Dapatlah disimpulkan di sini, setiap umat islam haruslah berjihad walauapa pun kondisinya. Jihad yang paling besar ialah jihad menentang hawa nafsu di dalam diri setiap individu muslim. Sebab itulah Prof Dr Yusuf Qaradawi meletaknya permasalahan ini sebagai point yang teratas. Bagaimana hendak kita melaku jihad ini? cukupkah kita hanya menyebutnya? memandang sahaja? atau mendengarkannya bagai angin lalu? Dalam hadis yang mahsyur yang selalu kita dengar nabi berpesan cara untuk mencegah dari terjerumus dalam melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan bagaimana kita berjihad menentang hawa nafsu ialah:

1) menggunakan tangan

2) lisan/ lidah

3) hati ( inilah selemah-lemah iman)


Berjihad dengan hati bukanlah hanya dengan mendiamkan diri saja seperti yang dilakukan oleh kebanyakkan umat islam pada hari ini tetapi haruslah bertindak dengan mengikut kemampuan individu tersebut. Janganlah hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu ikut campur hal orang lain, tetapi buatlah sesuatu agar pihak yang selama ini melakukan kesilapan sedar akan ketelanjuran mereka. Nurin teringat seorang pensyarah lelaki, orangnya tidaklah bercakap banyak tetapi caranya sangat mudah dan boleh dipraktikkan dan tidak salah jika caranya adalah betul. Dia telah memberikan surat "cinta" kepada pensyarah-pensyarah wanita yang tidak memakai tudung dengan memberi nasihat-nasihat yang berguna dan menginggatkan azab Allah di dalam surat tersebut. Dan yang sugguh menarik dia tidak jemu-jemu menghantar surat tersebut berulang kali pada orang yang sama jika pensyarah wanita itu masih lagi tidak bertudung. Pada nurin tidak salah jika melakukan perkara tersebut, kerana kita wajib untuk menegur.


Ingatlah wahai teman-teman, pembaca sekalian. Hidup ini tidak kekal, mati jua menjemput pergi. Selagi hayat masih di badan lakukan amal, hindarkan kemaksiatan dan kemungkaran. Berjihadlah kamu sehingga badan berlipat dua, walaupun mata rabun memandang, walau kulit mulai kendur, walau gigi sudah bertabur dan uban muncul melambai-lambai. Maka ingatlah pesan Allah dalam surat Ar-Rum dalam ayat 29 & 30:


"Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri) dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab." (29)

"Maka hadapkan wajahmu dengan lurus kepada agama(islam);(sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (30)

Wednesday, December 9, 2009

Over The Rainbow



Antara lagu kegemaran nurin :)